Tips Kembara Mudah: Mesyuarat/Program Luar Daerah

Tugas seharian kita memungkinkan kita perlu bergerak dari kediaman kita ke suatu tempat bertugas yang jauh dari semasa ke semasa.
Berikut adalah amalan saya dalam kembara tugas saya:

#1: Sediakan pakaian mengikut keperluan sahaja dan pastikan siap untuk dipakai sebelum memulakan perjalanan.

  • Pakaian yang perlu digosok hendaklah digosok dan diaturkan seolah-olah akan dipakai segera mengikut fungsi penggunaannya. Contohnya: Pakaian untuk satu hari mesyuarat rasmi yang terdiri daripada kemeja, seluar, tali leher (beserta klip)dan blazer perlulah diletakkan dalam satu set dan digantung pada hanger bagi memudahkan apabila ingin dipakai nanti.

#2: Pilih jenis pengangkutan yang sesuai dan memudahkan pergerakan daripada aspek kos dan masa.

  • Jabatan tempat saya bertugas menyediakan pilihan jenis pengangkutan pelbagai yang boleh dipilih mengikut kesesuaian. Saya lebih suka memilih jalan darat dengan menaiki kenderaan jabatan. Saya telah membuat sedikit homework dengan membuat perbandingan ringkas jika menaiki kapal terbang dan menaiki kenderaan jabatan melalui jalan darat. Perkara yang saya ambil kira ialah kos yang terlibat, keselesaan dan masa. Menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru adalah lebih cepat sampai tetapi sukar untuk bergerak dari tempat penginapan ke tempat program terutamanya jika melibatkan tempoh melebihi sehari. Bergerak melalui jalan darat agak memenatkan tetapi dalam jangka panjang amat menjimatkan. Kos tambang kapal terbang ditambah dengan kos pengangkutan lain dalam pergerakan di darat terutamanya melibatkan lokasi antara tempat penginapan, lapangan terbang dan lokasi mesyuarat adalah tinggi berbanding dengan menaiki kenderaan jabatan walaupun kenderaan jabatan melibatkan bayaran tol.

#3: Penginapan perlulah murah, selesa dan mudah diakses.

  • Mungkin ada yang tertanya-tanya berkenaan perkhidmatan penginapan yang dinikmati di hotel yang sederhana mewah. Walaupun kelayakan saya menuntut daripada Jabatan saya adalah sehingga sebanyak RM240.00 sehari, saya tidak menggunakan kelayakan ini sepenuhnya. Saya melihat purata masa saya di bilik penginapan saya sekitar 10%-30% sahaja. Mungkim tidak berbaloi membelanjakan sejumlah wang yang tinggi untuk berada di bilik dalam tempoh yang singkat. Ada kalanya saya sampai tengah malam dan awal paginya terus bertolak ke program atau mesyuarat.
  • Pilihan saya yang paling popular adalah hotel-hotel bajet yang mudah diakses di bandar-bandar utama berhampiran lokasi program dan mesyuarat.

    #4: Gunakan seboleh-bolehnya kaedah bayaran kad tunai atau kad debit.

    • Apabila mengembara atau bermusafir, cuba untuk elakkan berhutang dan memegang banyak wang tunai. Cara ini akan mengelakkan terjebak ke kancah hutang dan adalah lebih selamat.
    • Berbelanja dengan kad kredit memang seronok kerana kita tidak melihat ketebalan tunai yang keluar dari beg duit. ‘Bala’ datang semasa membayar hutang kad tersebut nanti. Beban selalunya pada caj-caj daripada penyedia kredit seperti bank atau organisasi kewangan lain.
    • Tunai yang kurang di tangan juga mengurangkan minat pencuri. Maka, penggunaan kad debit atau kad ATM amat membantu. Jangan paksa warung makan di pasar malam terima kad debit pulak! 😀

    Sekian dahulu buat sementara. Saya akan tambah dari semasa ke semasa jika saya teringat. Sebenarnya ada lagi beberapa tips. Tunggu!